PRN: Amanah mahu agihan kerusi PH-BN selesai sebelum Ramadan

Izham
Izham
A
A
A

AMPANG - Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor mahu isu pembahagian kerusi babitkan komponen Pakatan Harapan (PH) dan BN di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) diselesaikan sebelum Ramadan.

Pengerusinya, Ir Izham Hashim berkata, mesyuarat PH sebelum ini telah memutuskan untuk mengadakan rundingan bersama BN bagi pembahagian kerusi PRN selari dengan konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Menurutnya, rundingan secara tidak rasmi antara PH dan BN telah dibuat dan hasilnya menunjukkan perkembangan positif.

"Dalam masa terdekat, kita akan adakan pertemuan dengan pimpinan PH terdiri pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP terlebih dahulu untuk lihat secara keseluruhan.

"Ia akan disusuli dengan mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk rundingan kerusi," katanya ketika ditemui pada Pelancaran Jualan Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana pada Sabtu.

Beliau berkata, sebolehnya isu rundingan kerusi itu mahu diselesaikan segera supaya gerak kerja persiapan PRN dapat difokuskan di peringkat akar umbi.

Ditanya kemungkinan Amanah berdepan pengurangan kerusi susulan usahasama PH dan BN pada PRN, Izham berkata, ia akan diputuskan menerusi penetapan kriteria agihan kerusi yang dibuat.

"Secara prinsip pertemuan tersebut dibuat untuk menggariskan kriteria yang akan menjadi panduan bagi pengagihan kerusi. Ia perlu adil dan diterima oleh semua komponen.

"Salah satu kaedah yang ditetapkan adalah kerusi yang dimenangi akan dipertahankan manakala kerusi yang kalah boleh dibincangkan," katanya.