Kerajaan gagal tangani kenaikan harga barang

Tong Keong
Tong Keong
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Perpaduan didakwa gagal untuk mengawal harga barang terutamanya harga telur dan sayur-sayuran sehingga membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Timbalan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, bukan sahaja harga barang, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat gagal dalam menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurutnya, lebih mengecewakan, kerajaan lebih berminat untuk mengimport telur ayam dari India berbanding memberi subsidi kepada pembekal telur tempatan.

"Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang bukan sahaja tidak dapat membela hak rakyat malah tidak mengawal harga barangan termasuk sayur-sayuran dan telur ayam. Sepatutnya apabila bekalan telur tidak cukup, kerajaan perlu mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah ini, bukannya mengimport dari India.

"Tindakan ini dilihat seolah-olah kerajaan lebih suka melihat pengeluar telur tempatan mengalami muflis. Sehingga sekarang, masalah bekalan telur masih belum selesai. Kini, harga sayur-sayuran di pasaran pula dilaporkan meningkat sebanyak 160 peratus pada bulan lalu.

"Apa yang kerajaan buat? Kerajaan seolah-olah tidak mempedulikannya malah membiarkan rakyat tanggung tekanan kos sara hidup yang amat tinggi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tong Keong turut mempersoalkan kebolehan kerajaan untuk menerajui pembangunan ekonomi negara selepas gagal untuk mengawal harga barang yang mencanak naik ketika ini.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) harus menyiasat punca kenaikan harga sayur-sayuran supaya rakyat berpendapatan rendah tidak terjejas. Pada masa sama, pihak berkuasa itu perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang menaikkan harga tanpa sebab selain melanggar peraturan 2010 Kawalan Harga dan Akta Antipencatutan.

"Apa yang KPDN buat sehingga peniaga berani untuk menaikkan harga sayur-sayuran sehingga 160 peratus? Adakah mereka ini tidur, tidak buat kerja? Sepatutnya mereka menyelia proses pasaran sayur-sayuran dan pemborongan domestik bagi mengelakkan orang tengah mengaut keuntungan besar," katanya.

Beliau turut menempelak kerajaan apabila mendakwa kerajaan ketika ini tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan rakyat hidup dalam terseksa khususnya yang berpendapatan rendah.

"Kos barangan yang tinggi tanpa tindakan segera menunjukkan Kerajaan Perpaduan yang memerintah negara kini tidak bertanggungjawab.

"Isu harga barang perlu ditangani dengan segera, bukannya membiarkan rakyat menanggung beban ini," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa KPDN dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera bagi menurunkan harga sayuran yang meningkat sehingga 160 peratus dalam tempoh sebulan lalu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong turut memberi amaran bahawa harga sayur dijangka meningkat beberapa minggu akan datang.