Klopp pertahan mutu permainan Salah

Salah (kanan) tidak berada pada tahap terbaiknya musim ini.
Salah (kanan) tidak berada pada tahap terbaiknya musim ini.
A
A
A

JURGEN Klopp tidak meragui kualiti Mohamed Salah dan percaya penyerang itu boleh memainkan peranan penting untuk Liverpool mencapai sesuatu yang istimewa musim ini.

Walaupun berstatus penjaring terbanyak untuk Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, dia hanya mampu menjaringkan tujuh gol dalam 19 perlawanan liga.

Sepanjang lima kempen pertamanya di Anfield, Mohamed Salah menjaringkan 118 gol di liga utama.

"Sikap dan perkara sebegini bukan masalah Salah. Dia adalah atlet bertaraf dunia, jadi dia yang pertama masuk dan yang terakhir keluar serta berlatih bersungguh-sungguh.

"Anda boleh mempersoalkan watak, pengetahuan, kebolehan, segala-galanya.

"Anda berhak melakukan segala-galanya, tetapi anda tidak boleh menjaringkan jumlah gol yang dijaringkan Salah jika anda bukan pemain bola sepak bertaraf dunia yang cemerlang," kata Klopp.

Liverpool ketika ini berada di kedudukan ke-10 EPL dan telah terkeluar daripada saingan Piala FA dan Piala Liga.

Tegas Klopp, satu-satunya cara untuk menghentikan segala persoalan adalah dengan memberikan persembahan terbaik.

"Itulah yang perlu kami lakukan dan apa yang akan kami usahakan.

"Kami benar-benar melakukannya, kami positif dan percaya peluang kami untuk mencapai sesuatu yang istimewa tahun ini," katanya.