Kabinet bayangan bawa suara rakyat di Parlimen

Nurhayati dan laporan Sinar Harian.
Nurhayati dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif pembangkang mewujudkan kabinet bayangan diharap bersifat 'rakyat-centric' untuk bertindak membawa suara pilihan rakyat di Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, kabinet bayangan dinyatakan oleh Perikatan Nasional (PN) harus berfungsi sepenuhnya untuk meneliti setiap tugasan pihak kerajaan serta memberi tumpuan khusus kepada kementerian berkaitan.

Katanya, keutamaan wajar difokuskan kepada penelitian terhadap dasar-dasar kerajaan dan menawarkan alternatif, seterusnya menyemak mana-mana polisi yang dirasakan lebih bersesuaian dengan solusi konstruktif.

Untuk itu menurutnya, disiplin, komitmen dan kehadiran 'menteri-menteri' kabinet bayangan penting dalam menentukan pelaksanaan sebarang dasar kerajaan adalah berteraskan tata kelola yang betul, telus, berakauntabiliti dan memenuhi aspirasi rakyat.

"Kabinet pembangkang harus benar-benar memahami portfolio yang dibayangkan dan membuktikan kompetensi mereka dalam kementerian masing-masing.

"Sebagai sebahagian frontbenchers, sekalipun tiada kuasa eksekutif, kabinet bayangan tetap berfungsi untuk memperkukuhkan demokrasi di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Nurhayati berkata, peluang yang ada harus digunakan untuk membentuk kematangan politik Malaysia yang sihat, di samping memupuk prinsip nilai dan moral dijunjung di Dewan Rakyat.

Dalam negara menuju pemulihan Madani katanya, perbahasan yang profesional oleh kerajaan dan pembangkang tentunya akan membina perspektif serta udara positif dalam kalangan rakyat.

Tegasnya, barisan pembangkang yang efektif berperanan penting dalam memastikan ketelusan dan semak imbang berterusan agar rakyat Malaysia yang telah mengundi faham bahawa menang tidak menang semua, manakala yang kalah juga tidak kalah semuanya.

"Kepercayaan itu amat tinggi nilainya. Pandangan yang bernas dan berkredibiliti pada akhirnya akan menjamin keselarasan fungsi 'kabinet bayangan' ini.

"Insya-ALLAH, jika kesempatan yang ada ini dapat digunakan sebaik dan sebijaknya, kelestarian pembangunan dan keharmonian negara akan dapat dicapai dengan lebih baik," katanya.