SPRM rekod keterangan pemimpin Bersatu, kontraktor

Laporan muka depan Sinar Harian.
Laporan muka depan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekod keterangan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu.

Tanpa mendedahkan nama pemimpin itu, sumber berkata, ramai pihak telah dipanggil membabitkan kes ini.

"Setakat ini lebih 15 individu telah direkod keterangan membabitkan pemimpin parti Bersatu serta pihak kontraktor yang dipercayai memberi wang kepada parti terbabit.

"Siasatan masih dijalankan dan ada lagi beberapa individu dan saksi akan dipanggil," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah sumber, SPRM tidak menolak kemungkinan akan memanggil lagi individu lain bagi pihaknya melengkapkan siasatan.

Kes disiasat Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, pembekuan dibuat bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Jumlah sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta. Baki dalam dua akaun bank Bersatu ketika ini adalah sekitar RM40 juta.

Pada Rabu, SPRM mengesahkan telah membekukan akaun parti Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman percaya pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Disember tahun lalu, SPRM telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan Covid-19.

Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan

Justeru, fokus siasatan SPRM terarah kepada dana kerajaan RM92.5 bilion terbabit.