Jualan mercun, bunga api: PDRM tunggu dasar KDN

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar yang akan ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pelaksanaan penjualan mercun dan bunga api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau baru mengetahui perkara itu dan PDRM menunggu apakah dasar daripada KDN berkaitan perlaksanaannya.

"Saya baharu mengetahui mengenai perkara itu, kita masih menunggu dasar daripada KDN, saya tidak mahu mengulas lanjut," katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri program 'hiking' bersama PDRM bersama di Taman Persekutuan, Bukit Kiara di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan kepada KDN untuk memperincikan garis panduan berhubung lesen penjualan mercun dan bunga api.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pengimport mercun dan bunga api.

Menurutnya, aktiviti penjualan bunga api dan mercun di peringkat sumber iaitu pemborong serta pengimport akan dikawal kerajaan.