Serah kepada KDN, MOF perinci penjualan mercun dan bunga api

Menteri KPKT, Nga Kor Ming ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Muhibbah KPKT pada Jumaat.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Muhibbah KPKT pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperincikan garis panduan berhubung lesen penjualan mercun dan bunga api.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, pihaknya turut menyerahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pengimport mercun dan bunga api.

"Secara dasarnya kabinet telah bersetuju semalam," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Muhibah sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, aktiviti penjualan bunga api dan mercun di peringkat sumber iaitu pemborong serta pengimport akan dikawal kerajaan.

“Jadi pembakaran mercun dan bunga api dihalalkan tetapi tertakluk kepada permohonan lesen, duti import, peraturan serta garis panduan," katanya.

Beliau berkata, dengan garis panduan yang bakal diumumkan, ia akan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara.

"Sekarang yang untung adalah sindiket bawah tanah yang mana tidak ada tahap keselamat produk. Sebab itu kita lihat berlaku kemalangan melibatkan mercun dan bunga api," katanya.

Kor Ming berkata, dasar baharu itu akan memeriahkan sambutan setiap perayaan di Malaysia.

"Kita tahu pembakaran mercun menjadi amalan seluruh rakyat tidak kira Tahun Baharu Cina, Deepavali, Aidilfitri dan juga Krismas," katanya.

Ditanya adakah pengguna perlu mendapatkan lesen tersebut, Kor Ming berkata ia tidak diperlukan.

"Kamu boleh beli mercun di kedai-kedai dan pusat membeli- belah apabila ia diumumkan kelak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!