ADUN Puteri Wangsa terpilih sertai IVLP di AS

Amira Aisya dipilih kedutaan AS untuk mewakili Malaysia ke IVLP di AS dalam bulan ini selama hampir sebulan.
Amira Aisya dipilih kedutaan AS untuk mewakili Malaysia ke IVLP di AS dalam bulan ini selama hampir sebulan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz terpilih menyertai 'International Visitor Leadership Program' (IVLP) di Amerika Syarikat (AS) pada bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa akan berlepas ke negara itu pada Sabtu selepas dipilih oleh kedutaan AS untuk mewakili Malaysia.

"Saya adalah satu-satunya yang dipilih wakil Malaysia untuk sesi kali ini oleh Washington DC. Saya akan berada di AS selama hampir sebulan untuk program ini dan berlepas hari ini (Sabtu) sehingga 27 Februari ini.

"Alhamdulillah diberikan peluang untuk membina pengalaman dan ilmu baharu. Saya akan gunakan setiap ruang dan peluang untuk belajar sebanyak mungkin dan berkhidmat dengan lebih baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan juga Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, IVLP telah menghasilkan banyak pemimpin dunia seperti bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Dsebabkan tidak berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa hampir sebulan, beliau mengambil keputusan untuk tidak mengambil gaji sebagai wakil rakyat pada bulan ini.

Katanya, gaji sebagai ADUN Puteri Wangsa akan digunakan sepenuhnya bagi pelaksanaan program-program yang menyasarkan golongan B40 di kawasan berkenaan.

"Saya berasa berat hati untuk mengambil gaji penuh tanpa berada di lapangan. Saya sudah pun berbincang bersama pasukan saya untuk adakan satu program untuk membantu pelajar-pelajar B40 di Puteri Wangsa.

"Gaji penuh saya akan saya sumbangkan untuk menjayakan program ini. Insya-ALLLAH akan diumumkan dalam masa terdekat. Saya percaya dalam rezeki kita, ada juga rezeki orang lain.

"Walaupun saya tidak akan berada di kawasan, pasukan saya akan terus berkhidmat di Puteri Wangsa. Saya akan turut pantau kerja-kerja di lapangan," ujarnya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang mempunyai urusan dengan pejabat khidmat ADUN Puteri Wangsa boleh menghubungi talian 014-9141481.