COBRA gempur sindiket rentas sempadan

Pasukan elit COBRA terdiri daripada 61 keanggotaan di seluruh negara.
Pasukan elit COBRA terdiri daripada 61 keanggotaan di seluruh negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) merupakan pasukan elit dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengendalikan kes berprofil tinggi.

Pegawai Pemerintah Medan COBRA, Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Mohd Nizam Sungib berkata, COBRA ditubuhkan susulan kes pembunuhan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak sewaktu dalam perjalanan ke pejabat di Putrajaya, pada 26 April 2013.

Menurutnya, lanjutan kes itu, pihak pengurusan tertinggi melihat terdapat keperluan bagi menubuhkan pasukan khas berdasarkan situasi semasa dan mendesak seperti ugutan terhadap pegawai dan kediaman dibakar.

“Berlaku kes sebelum ini kejadian pegawai kastam yang dilanggar semasa menjalankan tugas hingga terbunuh, rumah pegawai yang dibakar, kereta dan rumah disimbah cat.

“Di situ timbul satu keperluan bagi menubuhkan satu pasukan yang boleh digerakkan pada bila-bila masa dan bertindak sebagai strike and support team kepada mana-mana anggota yang bertugas di barisan hadapan.

“Semasa laksana operasi berisiko tinggi seperti dadah, senjata api serta penyeludupan, kami (COBRA) ada untuk backup pasukan serbuan ini.

“Selain itu, pasukan COBRA turut ditugaskan sebagai pasukan pelindung dan pengiring kepada pegawai-pegawai tertinggi jabatan. Ia juga ditugaskan untuk melindungi aset-aset penting jabatan termasuklah pangkalan marin serta aset bot yang mana ada ketikanya menjadi perhatian sindiket,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tingkat kemahiran

Mohd Nizam berkata, COBRA secara rasminya ditubuhkan pada 28 November 2016 di Lembah Bidong, Terengganu.

Mohd Nizam
Mohd Nizam

Katanya, jumlah keanggotaan bagi pasukan elit itu kini seramai 61 orang yang dibahagikan kepada enam zon iaitu Zon Tengah (Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang), Selatan (Melaka, Negeri Sembilan, Johor), Timur (Pahang, Kelantan, Terengganu), Sabah dan Sarawak.

“COBRA mendapat latihan asas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak sebelum dihantar untuk melanjutkan kursus lanjutan bersama pasukan khas lain di Malaysia bagi mempertingkat kan ilmu dan kemahiran.

Tambah beliau, pada hujung tahun lepas, sebuah Pusat Latihan Taktikal COBRA terletak di utara tanah air berjaya disiapkan bertujuan untuk melatih anggota agar lebih didedahkan mengenai taktik dan teknik pasukan khusus.

“Ia meliputi serbuan, risikan, persenjataan, perubatan, pertahanan diri dan pelbagai kemahiran yang mana mereka dilatih oleh operator pasukan khusus di Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, adalah menjadi cabaran apabila setiap tugasan dan operasi berdepan dengan ugutan jenayah.

Pasukan COBRA berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah.
Pasukan COBRA berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah.

“Trend kegiatan penyeludupan rentas sempadan hari ini sudah bertukar yang perlu dikenal pasti dan sebab itu mengapa kita perlukan pasukan yang boleh digerakkan pada bila-bila masa serta mampu berdepan cabaran ini.

“Cabaran daripada sindiket sudah berbeza. Dulu bila kata tentang penyeludupan, ia berkait dengan jenayah ekonomi, tetapi sekarang ia berkait dengan kongsi gelap atau gengsterisme atau terrorisme yang melakukan aktiviti ini bagi mencari dana untuk membiayai kegiatan haram mereka.

“Kebiasaannya sindiket ini adalah membabitkan dalang yang berlainan berdasarkan ‘komoditi’ sama ada rokok, dadah, arak atau mercun,” ujarnya.

Rampas dadah

Jelasnya lagi, COBRA juga berperanan untuk membanteras jenayah penyeludupan hidupan liar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

“COBRA membuat perisikan dan pemantauan rapi di tempat yang dijangkakan berlaku penyeludupan hidupan liar seperti di sempadan Sabah dan Sarawak selain utara Semenanjung,” katanya.

Menurut Mohd Nizam, antara tugasan paling mencabar adalah operasi di lautan pada tahun 2018 bagi mengesan kapal yang disyaki membawa barang belum lulus kastam.

“Waktu itu ribut kuat kira-kira jam 1 hingga 2 pagi dan saat genting apatah lagi ia berlaku berhampiran perairan antarabangsa. Bersyukur tiada yang cedera atau bot terbalik,” katanya.

Selain itu, operasi dadah pada tahun 2020 di sebuah kediaman yang didiami pelajar warga Afrika.

“Semasa tangkapan hendak dilakukan, suspek bertindak melarikan diri dan merempuh anggota hingga terjatuh.

“Suspek bertindak nekad dengan terjun dari tingkat dua dan patah kaki,” ceritanya.

Selain itu, anggota COBRA berdepan cabaran yang berlainan kerana perlu menggunakan pelbagai cara untuk mengesan sindiket selain terpaksa berkampung di dalam hutan bagi memastikan bila penyeludupan berlaku.

“Antara kejayaan COBRA bersama pasukan dalam JKDM adalah penahanan tiga tan kokain pada 2019 di Pelabuhan Klang, Selangor serta 16 tan amphetamine pada 2021”, katanya.

Mohd Nizam menegaskan, COBRA perlu mempertingkatkan kemahiran yang ada untuk berdepan cabaran dan ancaman pihak penjenayah.

Beliau memberitahu, JKDM dalam perancangan untuk menambah jumlah keanggotaan seperti yang disasarkan di peringkat awal iaitu seramai 205 anggota bagi ditempatkan di lokasi berisiko tinggi dengan jenayah penyeludupan.

“Anggota kastam yang berminat untuk sertai COBRA perlu aktif dan lasak. Mereka yang tidak mempunyai mental kuat sukar untuk lepasi ujian dalam latihan,” katanya.


KES-KES SERANGAN MELIBATKAN PEGAWAI KASTAM


26 April 2013

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim mati ditembak dipercayai oleh dua lelaki bermotosikal sewaktu beliau dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Pegawai ketiga tertinggi dalam kastam yang mengetuai Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri itu dipercayai diekori oleh dua suspek yang menaiki motosikal lebih kurang jam 8 pagi di Lebuh Wawasan dari arah Dengkil.

Shaharuddin, 58, rebah di bahu pemandunya selepas suspek berkenaan dipercayai melepaskan tiga das tembakan ke arahnya di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa.

23 Januari 2018

Kebakaran empat buah kereta di rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia mungkin perbuatan dendam sindiket penyeludupan pernah ditumpaskan pegawai itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pegawai terbabit, Nor Azman Mat Jini, 59, sebelum ini berkhidmat di bahagian penguatkuasaan dan berjaya menumpaskan beberapa sindiket yang cuba menyeludup barangan bernilai jutaan ringgit.

Dipercayai perbuatan itu berkaitan dengan tugas lama pegawai terbabit di bahagian penguatkuasaan.

Bahagian itu memang terdedah kepada ancaman kerana membabitkan banyak barangan berduti tinggi seperti rokok dan alkohol.

10 Februari 2020

Rumah seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kampung Perupok dekat Pasir Mas, Kelantan terbakar akibat dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali dipercayai angkara khianat.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi, pemilik kediaman itu, Razman Pak Dek yang bertugas di Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kelantan, tiada di rumah.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abdul Halim, berkata dua buah kereta yang berada di ruang parkir kediaman itu turut terbakar sebelum satu laporan polis dibuat bagi mengenal pasti punca serangan berkenaan.