Kanak-kanak maut, seorang lagi cedera dirempuh kereta api

Seorang kanak-kanak maut dan seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta api di Recklinghausen, Jerman. - Foto Reuters
Seorang kanak-kanak maut dan seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta api di Recklinghausen, Jerman. - Foto Reuters
A
A
A

BERLIN - Seorang kanak-kanak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kereta api di Recklinghausen, kawasan perindustrian Ruhr di Jerman, menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri di Rhine-Westphalia Utara.

Seorang budak lelaki berusia 10 tahun maut dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 6 petang (1700 GMT) Khamis.

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang cedera parah kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan, menurut jurucakap polis kepada Agensi Akhbar Jerman (dpa) pada Jumaat.

"Apa yang berlaku di sini amat mengerikan," kata Menteri Dalam Negeri Herbert Reul kepada media.

Penyiasat kini sedang meneliti kemungkinan bagaimana kanak-kanak berkenaan berjaya memasuki landasan kereta api itu.

Pasukan bomba turut menggunakan dron yang dilengkapi kamera pengimejan haba untuk mengimbas tempat kejadian pada waktu malam.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa sekumpulan kanak-kanak dilanggar oleh kereta api dan diseret beberapa ratus meter.

Landasan kereta api itu masih ditutup hingga menjejaskan laluan kereta api pinggir bandar, bagaimanapun perkhidmatan pengangkutan lain telah disediakan. - Bernama