Perlu serius pastikan dana politik lebih telus, SPRM lebih bebas

Gambar hiasan - Foto Awani
Gambar hiasan - Foto Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk bekerja secara serius ke arah memastikan pendanaan parti politik yang lebih telus dan melakukan pembaharuan institusi dalam usaha menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu, perundangan pendanaan politik adalah satu langkah penting untuk mengurangkan rasuah dalam politik.

Menurutnya, perundangan itu juga akan meletakkan bukan sahaja pihak pembangkang, malah semua parti politik tertakluk kepada langkah-langkah ketelusan, pendedahan dan penelitian yang sama.

“Rang undang-undang (RUU) persendirian yang diperkenalkan oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai pendanaan politik sebelum ini memerlukan semua parti politik mengisytiharkan sumber pendanaan mereka kepada sebuah suruhanjaya bebas.

“Mengisytiharkan sumber pendanaan akan mengurangkan kemungkinan parti politik mendapatkan dana daripada cara yang menyalahi undang-undang seperti penyelewengan dana awam, rasuah atau pengubahan wang haram,” katanya.

Ideas memaklumkan, KRPPM turut mengesyorkan pendanaan awam sebagai usaha untuk membendung rasuah politik, iaitu kerajaan menyediakan dana kepada parti politik berdasarkan formula yang ditetapkan.

“Ini seterusnya mengurangkan kebergantungan secara berlebihan kepada dana sektor swasta dan konflik kepentingan yang berpotensi timbul daripada hal ini,” ujarnya.

Dalam masa sama kenyataan itu memberitahu, meningkatkan kebebasan SPRM turut akan merangsang keyakinan orang ramai terhadap badan berkenaan dan mengurangkan persepsi institusi itu digunakan untuk tujuan politik.

Ujarnya, hal itu boleh dilakukan dengan memastikan jaminan kepada tempoh perkhidmatan pesuruhjaya dan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bebas (IACC).

Tambahnya lagi, kajian menunjukkan suruhanjaya antirasuah dengan autonomi yang lebih luas secara amnya lebih berjaya dalam usaha memerangi rasuah.

“Kami juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa Pelan Pencegahan Antirasuah Kebangsaan (NACP) yang dilancarkan pada tahun 2019 menyasarkan untuk memperkenalkan perundangan pendanaan politik menjelang akhir tahun 2020 dan mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berasingan untuk SPRM menjelang akhir tahun 2023.

“Komitmen ini dibuat oleh kerajaan campuran yang terdiri daripada parti-parti yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan semasa.

“Kedua-dua sasaran malangnya telah dikeluarkan apabila NACP menjalani semakan separuh penggal pada tahun 2021.

“Sasaran tersebut harus dikembalikan semula jika kerajaan semasa bersikap serius untuk menjadikan SPRM lebih bebas,” katanya.

Ideas melalui kenyataan sama berkata, kerajaan harus lebih peka tentang cara mengendalikan kepercayaan awam yang rapuh terhadap institusi.

“Pemarkahan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan kemerosotan prestasi Malaysia dalam membasmi rasuah.

“(Malaysia) jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas, sepatutnya mendorong kerajaan untuk memulakan semula usaha pembaharuan dalam kedua-dua perkara utama ini dengan segera.

“Memandangkan NACP akan tamat pada penghujung tahun ini, maka kini lebih penting bagi kerajaan untuk menunjukkan kesungguhan politik dalam melakukan perubahan,” ujarnya.