Pengorbanan Teong Kim

Teong Kim - Foto : Perak FC
Teong Kim - Foto : Perak FC
A
A
A

PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim percaya ideanya untuk memberikan peluang kepada pemain muda beraksi sebagai satu usaha memajukan pasukan kebangsaan.

Menurutnya, jika pasukan lebih mengutamakan pemain luar negara, ia akan merosakkan ruang untuk pemain muda menampilkan kualiti dimiliki.

"Saya bukan lihat bola sepak sekadar bola sepak sahaja. Saya lihat bola sepak sebagai masa depan untuk pemain muda ini.

"Kalau semua kelab mengambil pemain luar negara dan peluang ini tidak diberikan kepada pemain muda, macam mana pasukan kebangsaan kita nak maju. Ini satu masalah bukan sahaja di Malaysia, tetapi di England, Itali dan Jerman juga sama.

"Jika tidak ada perancangan untuk menyelesaikan perkara ini, ia akan terus berlaku dan menjadi masalah yang tidak ada penghujungnya,"katanya dalam sidang akhbar Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut meminta penyokong Perak FC supaya bersabar dan tidak hanya memikirkan mengenai keputusan perlawanan selain menyifatkan skuad kendaliannya itu berada di landasan yang betul.

Beliau turut menyedari persoalan dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus yang tidak faham mengenai pendekatannya menggunakan ramai pemain muda.

Malah, penyokong juga risau mengenai kemampuan pasukan yang dilihat tidak akan mampu menjadi pencabar dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Kalau mereka tidak boleh bersabar, apa saya boleh buat? Saya buat apa yang betul dan apa saya fikir betul untuk pemain saya. Pemain tempatan kita bukan tidak bagus. Mereka perlu peluang dan mereka perlu bersaing.

"Mereka perlu melalui satu proses yang baik untuk perkembangan bola sepak Malaysia,"katanya.