Lelaki mengamuk di sekolah hanya latihan demonstrasi

Tular video berdurasi 1.03 minit memaparkan seorang lelaki membawa sebatang kayu mengamuk dalam kawasan sekolah.
Tular video berdurasi 1.03 minit memaparkan seorang lelaki membawa sebatang kayu mengamuk dalam kawasan sekolah.
A
A
A
SEREMBAN - Polis mengesahkan video tular memaparkan lelaki membawa sebatang kayu dan mengamuk di kawasan sebuah sekolah di sini dua hari lepas merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan sekolah terbabit.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi membuat kenyataan dan spekulasi tidak berasas berkenaan video berkenaan.

"Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah di Sikamat dan pihak sekolah mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan yang dijalankan pada 1 Februari lepas di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, tular video berdurasi 1.03 minit memaparkan seorang lelaki membawa sebatang kayu mengamuk dalam kawasan sekolah kerana anaknya dipukul oleh guru sehingga menimbulkan salah faham awam. - Bernama