Juventus tempah slot separuh akhir Piala Itali

Bremer (kanan) bersama rakan sepasukan meraikan jaringannya ketika membantu Juventus mengalahkan Lazio 1-0 pada Jumaat. Foto EPA
Bremer (kanan) bersama rakan sepasukan meraikan jaringannya ketika membantu Juventus mengalahkan Lazio 1-0 pada Jumaat. Foto EPA
A
A
A

JARINGAN tunggal Gleison Bremer sudah cukup buat Juventus untuk mara ke separuh akhir Piala Itali selepas menewaskan Lazio 1-0 dalam aksi suku akhir pada Jumaat.

Juventus yang dibimbing Massimiliano Allegri akan membuat perhitungan dengan Inter Milan yang mengalahkan Atalanta 1-0 pada Rabu.

Kemenangan itu melegakan Allegri selepas pasukannya tewas kepada Monza minggu lalu, malah mereka juga melepaskan 10 gol dalam tiga aksi terakhir liga.

"Anda perlukan corak dan taktikal permainan yang tepat, namun ia perlu disertai dengan semangat.

"Kami bangkit daripada kekalahan dengan Monza jadi ia bukan situasi yang mudah. Kami meletakkan asas untuk kembali positif dalam saingan liga," ujar Allegri.

Kemenangan dalam saingan separuh akhir menentang Inter pada April amat penting buat Juventus untuk mara ke final bertembung Fiorentina atau Cremonese pada Mei.

Merangkul kejuaraan Piala Itali menjadi tiket buat Juventus layak ke Liga Europa kerana ia menjadi jambatan alternatif buat mereka bersaing di pentas benua.

Kejayaan itu juga mampu memulihkan semula motivasi pemain setelah Juventus dikenakan penalti 15 mata kerana aktiviti perpindahan terlarang bulan lalu.