Malaysia kutuk kekejaman Israel terhadap tahanan Palestin

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kempen penindasan ganas berterusan terhadap tahanan Palestin di beberapa penjara Israel dan menggesa pemimpin serta masyarakat dunia tampil mengambil pendirian sama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik hukuman dan tindakan balas secara kolektif rejim Zionis itu, khususnya terhadap warga Palestin yang ditahan di Jenin, Tebing Barat.

"Malaysia menggesa agar semua pemimpin dunia mengecam serangan dan pembunuhan yang dilakukan rejim Israel secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin.

"Masyarakat antarabangsa turut dituntut agar rejim Israel bertanggungjawab atas jenayah yang telah dilakukan serta menghentikan kekejaman dan kebiadaban serta merta.

“Malaysia mengucapkan takziah dan berdoa kepada mangsa terkorban serta cedera akibat pencerobohan yang dilakukan Israel ke atas kem pelarian Jenin," katanya kenyataannya pada Khamis.

Beliau berkata, Malaysia kekal bersolidariti bersama Palestin tanpa belah bahagi untuk mencapai kebebasan daripada pencerobohan haram Israel.

"Semoga dapat direalisasikan aspirasi rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota," katanya.

Minggu lalu, media antarabangsa memetik Kementerian Kesihatan Palestin, melaporkan tentera Israel membunuh sembilan warga Palestin dalam serbuan di kem pelarian Jenin dan seorang di bandar al-Ram di utara Baitulmaqdis, selain mencederakan 20 yang lain.