Infantino gembira Hamidin dipilih Ahli Majlis FIFA

Infantino (kiri) percaya pemilihan Hamidin memberikan impak besar kepada bola sepak Malaysia.
Infantino (kiri) percaya pemilihan Hamidin memberikan impak besar kepada bola sepak Malaysia.
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengucapkan tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas dipilih sebagai Ahli Majli FIFA.

Menurut Infantino, kejayaan Hamidin sangat penting untuk Malaysia selain melihat ke hadapan untuk kerjasama penting membangunkan bola sepak di ASEAN, Asia dan seluruh dunia.

"Saya gembira Hamidin memenangi pemilihan Ahli Majlis FIFA kerana sangat penting untuk Malaysia dan kepada semua orang. Kami mengenali satu sama lain untuk tempoh yang lama.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama membangunkan bola sepak di ASEAN, Asia dan seluruh dunia," katanya menerusi satu video di laman Facebook FAM.

Hamidin menang jawatan tersebut dalam pemilihan Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-33 yang berlangsung di Bahrain, pada Rabu.

Selain Hamidin, Kohzo Tashima dari Jepun, Mariano Areneta Jr. (Filipina), Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani (Qatar) dan Yasser H. Almisehal (Arab Saudi) turut mengisi baki empat jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Dr Tran Quoc Tuan menyifatkan pemilihan Hamidin sangat tepat berdasarkan pengalaman dalam bola sepak.

"Hamidin mempunyai pengalaman dalam bola sepak dan banyak menyumbang kepada bola Sepak Malaysia selain di AFC.

"Kemenangan Hamidin juga bukan sahaja penting untuk Malaysia tetapi juga untuk ASEAN. Ia menjadikan ASEAN lebih kuat kerana ada dua wakil dalam FIFA.

"Ia penting kerana wakil ASEAN boleh menyertai mesyuarat FIFA dan cuba untuk mencari penyelesaian untuk pembangunan bola sepak ASEAN," katanya.