Beruang matahari berjaya ditangkap

Operasi tangkapan disertai pelbagai pihak dan dibantu penduduk kampung. Foto APM
Operasi tangkapan disertai pelbagai pihak dan dibantu penduduk kampung. Foto APM
A
A
A

YAN - Seekor beruang matahari dewasa yang sesat di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah di sini yang menyebabkan kecederaan kepada seorang pegawai bomba bantuan, berjaya ditangkap kira-kira jam 1.21 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, beruang betina itu berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, operasi tangkapan pada mulanya mengalami kesukaran akibat sawah yang luas dan beruang dilihat bersembunyi di sebalik pokok padi sehingga sukar dijejaki.

“Selepas ditangkap beruang itu dimasukan ke dalam sangkar dan diserah kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Beruang matahari yang ditembak ubat pelali dan berjaya ditangkap. - Foto APM
Beruang matahari yang ditembak ubat pelali dan berjaya ditangkap. - Foto APM

Operasi tangkapan turut dijalankan oleh pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, anggota Rela, Perhilitan serta penduduk kampung.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang pegawai bomba bantuan cedera akibat digigit seekor beruang matahari yang disedari sesat sejak awal pagi Khamis.

Ketika kejadian, mangsa, Mohamad Nizam Hamid, 27, bersama anggota bomba lain dikatakan sedang mengepung haiwan berkenaan sebelum ia bertindak agresif.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.