Dua tan tepung milik kilang roti terkemuka disita

Jegan (kiri) melihat tepung yang dirampas dari sebuah kilang roti terkemuka di Jalan Transfer, Georgetown pada Rabu.
Jegan (kiri) melihat tepung yang dirampas dari sebuah kilang roti terkemuka di Jalan Transfer, Georgetown pada Rabu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang roti terkemuka di Jalan Transfer, Georgetown dikesan menyimpan dua tan tepung gandum tanpa permit hasil pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, pada Rabu.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, R S Jegan berkata, pemeriksaan secara rawak dilakukan jam 11 pagi itu mendapati, kilang roti yang telah beroperasi sejak 20 tahun lalu itu tidak mempunyai permit untuk menyimpan barangan kawalan berjadual itu.

Menurutnya, pengarah syarikat berkenaan memberi alasan tidak dimaklumkan oleh pemborong berhubung keperluan permit untuk menyimpan tepung gandum berkenaan melebihi jumlah yang dibenarkan.

“Lelaki itu mendakwa syarikat tidak dimaklumkan oleh pemborong untuk mendapatkan sebarang permit menyimpan barang kawalan berjadual berkenaan.

“Disebabkan itu, kita menyita dua tan tepung gandum dalam guni 25 kilogram (kg) bernilai RM6,400 iaitu 700kg jenama Cap Tank dan 1,300kg jenama Cap Kuda Merah,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, Bukit Minyak di sini, pada Khamis.

Jegan berkata, hasil siasatan mendapati ia adalah kesalahan pertama yang dikesan pihaknya di premis terbabit yang kali pertama diperiksa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu dalam kes berasingan, Jegan berkata, pihaknya berjaya membongkar sindiket menyeleweng minyak diesel menggunakan lori tangki minyak kelapa sawit di sebuah stesen minyak di Juru, pada Rabu.

Beliau berkata, pegawainya mengesan gerak geri mencurigakan dua lelaki berusia 20-an dan 30-an sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam tangki berkapasiti 39,000kg yang telah diubah suai tersebut kira-kira jam 4.30 petang.

“Tangki minyak diesel pada lori yang disewa itu telah disambungkan dengan tangki utama melalui tangga yang diubah suai.

“Minyak diesel yang dipam akan melalui paip pada tangga tersebut yang jika dilihat melalui mata kasar, ia boleh memperdaya orang kerana kelihatan seperti lori tangki biasa,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menyita lori tangki, minyak diesel, pam motor, set hos, telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM20,000 dengan nilai keseluruhan RM75,625.