Padah buang sampah, lelaki didenda RM1,500

Seorang lelaki didenda RM1,500 kerana membuang sampah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat pada Rabu.
Seorang lelaki didenda RM1,500 kerana membuang sampah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT – Tindakan seorang lelaki membuang sampah secara haram mengundang padah, apabila dia didenda RM1,500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, pada Rabu.

Tertuduh yang berusia 30-an ini dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Dia didakwa bawah Kesalahan Undang-Undang Kecil (UKK) 3(a) UKK Mencegah Kekotoran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 1994.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pegawai Pendakwa, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa, Ahmad Razali Abdul Manaf.

Sementara itu, menerusi kenyataan di Facebook MPKL, Yang Dipertuanya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat atau individu yang melakukan pembuangan sampah haram di kawasan ini.

Menurutnya, pembuangan sampah yang tidak terkawal menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan orang awam.

Katanya, penduduk perlu menjaga kebersihan persekitaran, bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan setempat.

Sekiranya berlaku aktiviti pembuangan sampah haram, laporan boleh dibuat kepada MPKL melalui talian 0331872825 / 0331872732 atau www.wasap.my/60123004847