Impak segera Cancelo di Bayern

Aksi cemerlang Cancelo (kanan) mendapat pujian rakan sepasukan Bayern. Foto Agensi
Aksi cemerlang Cancelo (kanan) mendapat pujian rakan sepasukan Bayern. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN baharu, Joao Cancelo memberi impak segera apabila membantu Bayern Munich membelasah Mainz 4-0 dalam saingan Piala Jerman pada Khamis.

Canselo terus disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas berhijrah dari Manchester City pada hari terakhir jendela perpindahan lalu.

Kualiti permainan yang dipamerkan pemain Portugal itu mendapat pujian rakan sepasukan Joshua Kimmich yang menganggapnya 'serasi' dengan juara Jerman itu.

Beraksi di posisi pertahanan, Cancelo membuat bantuan jaringan untuk Eric Maxim Choupo-Moting meledak gol pertama pada minit ke-17.

Pemain berusia 29 tahun itu juga dilihat berbahaya di bahagian sayap kanan.

Kimmich mengalu-alukan rakan sepasukan barunya itu, dengan berkata Cancelo 'amat' sesuai dengan juara Jerman itu.

“Dia ada kualiti menakjubkan - anda boleh lihat kualiti dibawanya ke padang. Saya harap kami akan gembira bersamanya,” katanya.

Penyerang muda Bayern, Jamal Musiala turut senada dengan Kimmich.

“Semua orang boleh melihat kualiti dimiliki Cancelo. Dia seorang pemain yang memiliki teknik hebat,” ujar Musiala yang meledak gol kedua pada minit ke-30.

Turut mencatat nama selaku penjaring ialah Leroy Sane dan Alphonso Davies.