Bayar RM70 sehari upah nelayan warga asing

Tiga nelayan asing ditahan dalam sebuah bot tempatan Kelas B di kedudukan 13 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar pada Rabu.
Tiga nelayan asing ditahan dalam sebuah bot tempatan Kelas B di kedudukan 13 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan tiga warga asing kerana bekerja sebagai nelayan dalam sebuah bot tempatan Kelas B di kedudukan 13 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar pada Rabu.

Semua mereka warga Myanmar berusia lingkungan 22 hingga 39 tahun itu ditahan dalam 'op ehsan' dan 'op murni' kira-kira jam 10.45 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot kelas B itu dikesan oleh KM Bagan Datuk yang membuat rondaan rutin di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan dua kru warga Myanmar telah menjalankan aktiviti perikanan selama dua hari," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Siva Kumar, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua mereka yang dibayar RM70 sehari untuk bekerja di bot itu selama sebulan, bagaimanapun mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Selain itu beliau memberitahu, pemilik bot pula didapati menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Turut ditemukan di atas bot ialah kira-kira 200 kilogram ikan campur dan pukat tunda ketika penahanan dibuat.

"Kesemua nelayan dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," ujar beliau.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang- undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara," tambahnya.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.