Arab Saudi bakal anjur Piala Asia 2027

Arab Saudi bakal menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Asia buat julung kali bagi negara itu pada 2027. - Foto Bernama
Arab Saudi bakal menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Asia buat julung kali bagi negara itu pada 2027. - Foto Bernama
A
A
A

ARAB Saudi bakal menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Asia buat julung kali bagi negara itu pada 2027.

Meskipun merupakan antara pasukan terbaik di benua ini, dengan rekod tiga kali memenangi Piala Asia (1984, 1988 dan 1996) daripada enam kali memasuki final serta enam kali mewakili Asia dalam Piala Dunia, negara itu tidak pernah berpeluang menganjurkan kejohanan tersebut yang diasaskan pada 1956.

Hasrat Arab Saudi untuk menganjurkan pertandingan itu akhirnya tercapai selepas 43 daripada 46 negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menghadiri Kongres AFC ke-33 di Pusat Konvensyen Gulf, di sini, pada Rabu, mengundi hak penganjuran diberikan kepada monarki itu.

Turkmenistan dan Palestin bagaimanapun tidak mengundi.

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan SAFF (Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi) dan Kerajaan Arab Saudi dalam menganjurkan Piala Asia AFC yang akan diingati oleh peminat dan pemain pada 2027,” kata Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa.

Sebelum ini Arab Saudi turut mendapat hak penganjuran Sukan Asia 2034 di Riyadh dan Sukan Musim Sejuk Asia 2029.

Sementara itu Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi Putera Abdulaziz Turki Al Faisal Al Saud berkata: "Ia satu penghormatan dipilih untuk menganjurkan Piala Asia dan ini adalah saat yang bersejarah dan hebat untuk bola sepak Arab Saudi.

"Pengalaman yang kami ada dalam menganjurkan acara sukan dan hiburan besar bermakna kami bersedia untuk memberikan yang terbaik.”

Arab Saudi merupakan satu-satunya negara menawarkan diri untuk menganjurkan edisi 2027 itu setelah empat negara lain iaitu Uzbekistan, Iran dan India menarik diri, manakala Qatar jatuh kelayakan setelah meraih hak penganjuran bagi edisi tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: