Pelajar UiTM maut, rakan cedera parah motosikal dilanggar van

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar Universiti Teknolgi Mara (UiTM) maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah van di Simpang Empat Paya Jemerli, dekat Kulim pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.20 petang semasa motosikal dinaiki kedua-dua pelajar UiTM Cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang itu dipercayai keluar dari satu simpang secara mengejut.

Beliau berkata, van yang dipandu lelaki berusia 20-an yang sedang dalam perjalanan dari arah Baling menghala ke Bukit Mertajam itu dikatakan tidak sempat mengelak, lalu terlanggar motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki dua pelajar lelaki berkenaan.

"Pelanggaran menyebabkan van itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang lelaki berusia 30-an,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Mohd Redzuan berkata, pelajar yang menunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya yang mengalami kecederaan parah sedang dirawat di Hospital Kulim.

"Seorang lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan telah diberi rawatan pesakit luar di hospital yang sama manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan,” katanya dan menambah kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama