PH-BN jadikan agensi kerajaan 'alat' capai matlamat politik

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan PH-BN yang menjadikan agensi di bawah pemerintahannya sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan PH-BN mempunyai hasrat untuk membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

"Bagaimanapun, kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

"Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Oleh itu, semua pemimpin dan ahli diminta bersabar selain terus istiqamah dalam menghadapi ujian serta fitnah ini," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Tambah Hamzah, Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan.

"Partinya akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera.

"Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya," ujarnya.