Senarai makanan yang menyumbang kepada penyakit berbahaya

A
A

GARAM merupakan sebatian bukan organik yang mengandungi mineral penting yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam jumlah yang kecil. Garam juga dikenali sebagai Natrium Klorida dengan menggunakan simbol NaCl.

Sodium (nama lain bagi natrium) pula adalah mineral yang terkandung dalam garam. Satu sudu teh garam (5g) adalah bersamaan dengan 2000mg sodium (NCCFN, 2010).

Bagaimanapun tahukah anda bahawa garam penting untuk metabolisme tubuh? Namun, harus diingat pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit:

1) tekanan darah tinggi

2) penyakit kardiovaskular.

Selain itu, garam berlebihan dalam badan boleh menyebabkan cecair dalam badan terkumpul dan membebankan buah pinggang. Oleh itu, anda perlu mengambil kurang daripada satu sudu teh garam sehari untuk mengelakkan penyakit.

Bagaimana mengesan garam tersembunyi?

Sebenarnya, garam atau sodium boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Selain garam masakan (natrium klorida), garam juga boleh didapati dalam bahan pengawet dalam bentuk sodium nitrat dan sodium benzoat.

Antara makanan yang menggunakan bahan pengawet termasuklah:

Mi segera, mi kuning, jeruk sayur, jeruk buah, marjerin, jeli, sos penambah rasa (kicap, cili sos), jem, cili boh, belacan, minuman ringan, daging proses seperti (daging burger, nuget, hotdog), snek bergaram dan banyak lagi

Sodium juga boleh didapati dalam roti dan pastri. Ini berpunca daripada penggunaan serbuk penaik yang juga dikenali sebagai sodium bikarbonat.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Sebagai contoh, seseorang yang gemar makan roti putih bersama kacang panggang mungkin akan mengambil lebih tinggi sodium berbanding orang yang gemar makan telur asin.

Kebiasaannya garam tersembunyi tidak memberi rasa masin, kebanyakan orang cenderung untuk mengambil makanan itu dalam kuantiti yang banyak.

Akibatnya, jumlah kumulatif sodium dalam diet hariannya menjadi lebih tinggi. Oleh itu, anda perlu mengawasi pengambilan makanan-makanan yang mempunyai garam tersembunyi.

Sumber: Myhealth(KKM)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia