Rancang bawa produk usahawan tempatan ke Dubai, UAE

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor merancang merancang melebarkan jaringan perniagaan ke pasaran Asia Barat dengan menjadikan Dubai dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pusat tumpuan bagi mempromosikan produk usahawan tempatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah, usaha itu bagi membantu mengetengahkan produk tempatan ke pasaran luar negara.

“Kita berharap suatu hari nanti, lebih banyak produk usahawan tempatan akan diketengahkan untuk menembusi pasaran dan bertapak di Dubai.

“Jika sebelum ini, kita sudah ada tiga syarikat dari Johor iaitu Daily Fresh Foods Sdn. Bhd, Power Root Malaysia dan Rushoe Coating and Insulation Sdn. Bhd di negara berkenaan.

"Saya melihat Johor ada potensi, ditambah dengan pimpinan Menteri Besar yang akan membawa Johor maju menjelang 2030, ia juga pasti akan menarik pelaburan dari Dubai ke Johor kelak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Larkin sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Konsul General Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman ketika mengikuti persiapan pra-musim skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), di Dubai.

Mohd Hairi berkata, pada pertemuan itu, pihaknya turut menyuarakan hasrat untuk melihat lebih ramai usahawan dari Johor, terutamanya melibatkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertapak di Dubai.

“Saya turut mengambil kesempatan berkongsi dengan Konsul General di Dubai mengenai apa yang usahawan Johor boleh lakukan bersama jika diberi peluang untuk berada di sana.

“Dalam soal ini, kita berikan tumpuan kepada PKS agar peluang yang diperoleh nanti boleh dikongsikan di Dubai bagi membawa lebih ramai usahawan dari Johor untuk menjangkau dan bertapak dari luar kebiasaan,” katanya.