Program pengajian percuma bantu golongan tidak berkemampuan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Norhisham
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Norhisham
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesakit kronik yang kehilangan punca pendapatan menyambut baik hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.

Mohd Norhisham Ahamid Anyudin, 42, berkata, cadangan itu dapat membantu meringankan bebanan golongan memerlukan sepertinya yang sudah tidak mampu bekerja namun masih mempunyai anak yang perlu diberikan pendidikan.

"Bagi saya hasrat kerajaan itu amat bagus kerana ia membela nasib golongan seperti kami.

"Jika benar usaha ini akan dilaksanakan kerajaan, ia memberi sinar kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah supaya anak-anak mampu membela nasib keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Menurut Mohd Norhisham, program yang bakal diperkenalkan itu juga merupakan suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak golongan miskin untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus mencapai apa yang dicita-citakan.

"Kita sokong penuh usaha itu termasuk apa sahaja langkah yang akan dilaksanakan kerajaan ke arah kebaikan, kita akan menyokong.

"Misalnya seperti program yang akan diperkenalkan ini, ia perlu diuar-uarkan kepada murid-murid supaya mereka lebih memahami hala tuju pada masa depan," ujarnya yang tinggal di Jertih, Besut.

Mohd Norhisham mempunyai dua anak iaitu Muhammad Asri (11 tahun) dan Nor Syahadah (9 tahun).

Dua anaknya kini bergantung harap kepada bapa saudara mereka untuk berulang-alik ke sekolah setelah tahap kesihatan Mohd Norhisham merosot serta tidak berupaya bergerak.

Mohd Norhisham dan isteri kini bergantung harap sepenuhnya kepada bantuan yang diterima setelah keduanya hilang mata pencarian akibat komplikasi penyakit kronik.

Tahap kesihatan Mohd Norhisham mula merudum sejam 2017 akibat jangkitan pada kulit (cellulitis) dan tidak mampu bekerja sejak 2019 manakala isterinya, Zuriana Ramli, 40, juga tidak dapat bekerja kerana menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Semalam media melaporkan KPT akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled, mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.