24 pelajar B40 UniSZA teruja terima komputer riba

Fadzli (tengah) pada Majlis Penyerahan Komputer Riba Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023, di Pejabat Naib Canselor, UniSZA. - Foto UniSZA
Fadzli (tengah) pada Majlis Penyerahan Komputer Riba Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023, di Pejabat Naib Canselor, UniSZA. - Foto UniSZA
A
A
A

KUALA NERUS – [DIKEMAS KINI] Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 24 pelajar dari golongan berpendapat rendah (B40), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selepas menerima sumbangan komputer riba bagi kegunaan sepanjang pengajian mereka.

Penyerahan komputer riba kepada pelajar terpilih dari 11 fakulti melalui manfaat wakaf UniSZA dari sumber janaan hasil Wakaf dan Infaq Syarikat Leos Technology itu disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam.

Seorang penerima, Nur Syamiha Aqwa Mazlan, 20, penuntut Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani berkata, pemberian itu sangat besar ertinya kerana dapat memudahkannya membuat tugasan dan belajar secara dalam talian.

Kata anak yatim piatu berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu, sebelum ini, dia terpaksa berkongsi komputer riba dengan kakaknya dan tidak mampu untuk membeli kerana wang tidak mencukupi.

"Alhamdulillah, hari ini saya berasa sangat lega dan berterima kasih kepada pihak UniSZA atas keprihatinan memberi komputer riba ini," katanya yang terharu dengan sumbangan tersebut.

Muhammad Hussin Mohd Ilias, 22, pula berkata, sebagai pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat, dia memerlukan komputer riba bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan pensyarah.

“Sepanjang belajar, saya guna komputer riba kakak saya yang sudah uzur. Jika ada tugasan memerlukan aplikasi yang canggih, saya akan pinjam komputer rakan atau ke makmal untuk menyiapkan tugasan.

“Alhamdulillah berkat kesabaran, akhirnya hari ini saya menerima komputer riba yang bersesuaian dengan jurusan saya daripada UniSZA, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.

Katanya lagi, pemberian itu sekali gus meringankan beban emaknya yang juga ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit.

Mereka ditemui selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2022/2023, di Pejabat Naib Canselor, UniSZA, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan, Muzafar Mohd Din, Pengarah Pejabat Wakaf dan Endowmwn, Dr Ahmad Faizol Ismail dan Pengarah Urusan Syarikat Lieos Sdn Bhd, Azli Abdul Aziz.