Akademi Keyakinan Laurier bantu tingkatkan diri pelajar

A
A
A


No Image Caption



SHAH ALAM - KAO Laurier Malaysia telah menjadi teman setia remaja perempuan di Malaysia sejak 27 tahun lalu dengan usaha untuk menyokong dan mendidik mereka tentang penjagaan kebersihan wanita.

Penubuhan Akademi Keyakinan Laurier Malaysia terus menjadi pendorong kepada 188,532 gadis remaja sekolah menengah sehingga kini.

Kandungan modul-modul yang disampaikan oleh mentor wanita-wanita muda Malaysia yang telah berusaha gigih untuk mencapai impian masing-masing adalah untuk memperkasakan remaja perempuan di Malaysia untuk masa depan yang cerah.

Antara perbincangan yang dikupas termasuk menangani isu buli dalam talian atau buli siber, cara membina keyakinan diri, serta menggalakkan perbincangan tentang kebersihan haid.

Selain itu, barisan mentor juga menyentuh tentang pengalaman mengejar minat sambil mengimbangi komitmen terhadap pelajaran, mengasah kemahiran dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan penyertaan gadis dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Dalam usaha memperkayakan pengalaman peserta, KAO Laurier Malaysia telah menganugerahkan beberapa graduan ‘Akademi Keyakinan Laurier’ bagi setiap wilayah dengan dana Pendidikan sebanyak RM1,500 setiap seorang menerusi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) atau juga dikenali sebagai Simpan SSPN Prime.

Ini selari dengan usaha KAO Laurier Malaysia yang menyokong aspirasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menerapkan budaya menabung sebagai persiapan untuk pengajian tinggi.

Berkongsi pengalamannya sebagai graduan Akademi Keyakinan Laurier, Putri Marsya Maisarah Zarihudin, iaitu pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam, berkata, seorang wanita itu perlu ada keyakinan diri dalam mendepani cabaran hidup.

“Keyakinan diri perlu untuk saya, sebab saya banyak kekurangan. Banyak ilmu saya dapat daripada motivasi yang diberikan Akademi Keyakinan Laurier bagi membantu membentuk keyakinan diri saya,”katanya.

Bagi pelajar Lim Carleen, dari SMJK Perempuan China Pulau Pinang, Georgetown, pula berkata, dengan keyakinan, seseorang itu mampu mengatasi kelemahan diri.

“Akademi Keyakinan Laurier telah membantu saya tidak takut kepada kegagalan malah lebih mendorong saya ke arah kejayaan,”katanya.

Graduan Wilayah Tengah, Sarah Alesya Hany Mohd Fazli dalam sesi temubual, di sini.
Graduan Wilayah Tengah, Sarah Alesya Hany Mohd Fazli dalam sesi temubual, di sini.



Graduan Wilayah Tengah, Sarah Alesya Hany Mohd Fazli, 14, pula berkata, kisah kesungguhan tokoh wanita dalam Akademi Keyakinan Laurier dalam mencapai impian mereka telah memberi inspirasi kepadanya.

“Mendengar cerita daripada tokoh wanita, usaha dan kesungguhan mereka untuk mencapai impian masing-masing, menanamkan azam yang baharu bagi Sarah.

“Nasihat saya kepada rakan-rakan lain yang sedang berusaha untuk membina keyakinan diri adalah kita sebagai generasi muda, sewajarnya mempamerkan bakat dan potensi diri sebagai pemimpin masa hadapan,”katanya.

Sementara itu, ibu kepada Lim Sweet Ann, 17, yang juga merupakan graduan Akademi Keyakinan Laurier Wilayah Tengah, berkata, program itu dapat memberi inspirasi kepada remaja berdasarkan contoh wanita berjaya di Malaysia.

Sweet Ann yang bercita-cita menjadi seorang pengaturcara komputer (coder) mendapati perkongsian wanita-wanita cemerlang menerusi siri Akademi Keyakinan Laurier telah memberinya keyakinan untuk mencapai matlamatnya pada suatu hari nanti.

Luahan para graduan ini mencerminkan antara cabaran yang dihadapi ramai gadis sepanjang zaman remaja dan ia menjadi antara pembakar semangat bagi KAO Laurier Malaysia meneruskan Akademi Keyakinan Laurier setelah selesai jelajah di wilayah tengah dan utara.

Akademi Keyakinan Laurier bakal meneruskan usaha memperkasa gadis remaja di 96 buah sekolah sekitar wilayah selatan Semenanjung Malaysia bermula awal tahun ini dengan menganugerahkan beberapa graduan terpilih melalui dana pendidikan.

Pelajar perempuan yang kini bersekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang berumur 13 hingga 17 tahun boleh mendaftar untuk menyertai Akademi Keyakinan Laurier menerusi pautan https://forms.gle/mxDZv9F5a1ZPppw9A.

Tonton kelima-lima modul dan jawab soalan yang disertakan di penghujung setiap modul untuk berpeluang menjadi antara graduan Akademi Keyakinan Laurier terpilih.