Tengku Zafrul sah tawar diri tanding jawatan MKT UMNO

Tengku Zafrul - Foto Fail Bernama
Tengku Zafrul - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pemilihan parti itu nanti.

Tengku Zafrul menyifatkan langkah itu signifikan dalam usaha membina ‘tapak’ politik khidmat bagi tempoh jangka masa panjang.

“Ya, saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan MKT UMNO untuk menyumbang khidmat kepada parti,” kata beliau dalam mesej ringkas kepada Awani.

Menurut Zafrul, lanskap politik yang semakin dinamik membuka ruang persaingan yang sihat dan membina.

“Politik ini sifatnya dinamik, dan yang paling penting ialah sentuhan efektif membantu untuk memartabatkan masyarakat dan negara.

“UMNO sebuah parti yang berpengalaman dan Barisan pemimpinnya matang menempuh jatuh bangun politik, justeru saya percaya pemimpin dan akar umbi parti mahu melihat gabungan kepimpinan yang lebih dinamik dan pelbagai latar untuk pastikan proses pengukuhan parti pasca PRU15 dapat berjalan dengan baik,” katanya.- Awani