[VIDEO] Malaysia Madani didasari semangat reformasi

Dari kiri: Ismail, Amidi, Mohammed Taufiq dan Salawati semasa Wacana Sinar Edisi ke-382 bertajuk ‘Mampukah Konsep Madani Memulih Negara’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Dari kiri: Ismail, Amidi, Mohammed Taufiq dan Salawati semasa Wacana Sinar Edisi ke-382 bertajuk ‘Mampukah Konsep Madani Memulih Negara’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didasari dengan semangat reformasi.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan, Amidi Abdul Manan berkata, Madani diumumkan sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati berteraskan enam teras utama itu perlu dihayati oleh semua pihak.

Jelas beliau, konsep tersebut juga akan menjadi pemacu kepada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk untuk memastikan amalan integriti dan amanah dalam menjalankan tugas.

“Apabila sebut berkaitan dengan dasar ini, sebenarnya dalam naratif Madani ini menggambarkan satu kekuatan diri dalaman. Sebab itu ia didasari dengan satu semangat yang dinamakan semangat reformasi.

“Semangat reformasi ini biasanya akan melihat pula kepada maksud ayat al-Quran yang berbunyi ‘sesungguhnya aku hanya akan menyukai kepada pengislah (tindakan yang memperbaiki keadaan) dengan sedaya upaya aku’.

“Untuk sambut gagasan Madani, inilah semangatnya. Kita perlu untuk melakukan islah. Perlu untuk pacu negara dengan semangat islah,” katanya semasa Wacana Sinar Edisi ke-382 yang bertajuk ‘Mampukah Konsep Madani Memulih Negara’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Pakar Undang-undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Pada 19 Januari, Anwar Ibrahim memperkenalkan Malaysia Madani sebagai langkah mengangkat semula martabat negara dan dihormati semula sebagai negara makmur berteraskan enam teras utama.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, enam teras itu adalah keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Tambah Amidi, melalui gagasan Madani yang diperkenalkan itu, ia juga tidak akan memberikan ruang kepada perasuah untuk melakukan perbuatan terbabit.

"Dalam segi kepimpinan, siapapun yang dilantik, sama ada ahli keluarga atau bukan, yang penting kita tutup rapat istilah habuan kebatilan. Habuan yang diperoleh secara batil,” katanya.