Filem baharu SRK, Pathaan pecah 'box-office'

SRK digandingkan bersama Deepika Padukone. - Foto Agensi
SRK digandingkan bersama Deepika Padukone. - Foto Agensi
A
A
A

MUMBAI - Bintang terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) pada Isnin berterima kasih kepada peminatnya selepas filem baharu beliau berjudul Pathaan memecah rekod box-office India dan berjaya meraih kutipan 2.5 bilion rupee (RM127 juta) dalam tempoh lima hari pertama tayangannya.

Pathaan yang menjadi filem pertama SRK dalam tempoh empat tahun telah melonjakkan semula populariti beliau yang mendapat julukan 'King Khan'.

"Terima kasih kerana anda telah menghidupkan semula pawagam kita yang suram," kata aktor berusia 57 tahun itu yang bergandingan dengan Deepika Padukone dalam filem itu.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial juga menunjukkan kebanyakan peminat menari dan bersorak ketika menonton Pathaan.

Sementara itu, penerbit filem aksi thriller itu, Yash Raj Films memaklumkan jualan tiket antarabangsa mencecah 1 bilion rupee (RM52 juta) dalam tempoh tiga hari selepas ia ditayangkan.

Pada tahun lalu, filem dari selatan India yang berbahasa Telugu berjudul RRR telah mendominasi kutipan box office selain memenangi anugerah antarabangsa untuk kategori Lagu Terbaik di Golden Globe. - AFP