Wanita warga Thailand maut kereta bertembung lori

Keadaan Perodua Viva remuk teruk selepas terlibat kemalangan di KM80, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan UiTM Bukit Besi, Dungun, pada Selasa. - Foto ihsan bomba
Keadaan Perodua Viva remuk teruk selepas terlibat kemalangan di KM80, Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan UiTM Bukit Besi, Dungun, pada Selasa. - Foto ihsan bomba
A
A
A

DUNGUN - Seorang wanita warga Thailand maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 80 Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari, menyebabkan mangsa, Aminoh Ismail, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Beliau berkata, difahamkan ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai peniaga kedai makan dalam perjalanan pulang dari Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) ke rumahnya di Kampung Bukit Besi.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas Perodua Viva yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Pada masa yang sama, lori dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurutnya, mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala pemandu lori berusia 36 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.