[VIDEO] RM7 juta untuk usaha 'quick win' atasi banjir - TPM

Ahmad Zahid beramah mesra bersama mangsa banjir, Katimah Kadni, 78, ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Seri Sejati hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid beramah mesra bersama mangsa banjir, Katimah Kadni, 78, ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Seri Sejati hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Kerajaan meluluskan peruntukan segera RM7 juta untuk usaha ‘quick win’ bagi mengatasi masalah banjir di daerah ini, termasuk masalah banjir termenung, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, peruntukan tersebut membabitkan penggalian parit-parit dan pembelian pam air, yang akan disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Dalam keadaan itu, langkah-langkah ‘quick win’ ini, akan dilakukan dalam tempoh seminggu dua ini untuk kita lihat keberhasilannya, terutamanya dalam mengorek parit-parit yang sebu dengan lumpur dan sampah sarap yang ada sehingga menyebabkan penyumbatan pengaliran.

"Selain itu, JPS juga cadangkan pam-pam air untuk mengepam air segera, terutamanya apabila air laut mula surut, pam ini akan digunakan sepenuhnya,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Sri Medan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi permohonan projek jangka panjang, iaitu rancangan tebatan banjir (RTB) di daerah ini berjumlah RM50 juta akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Memandangkan terdapat sekolah-sekolah yang sering digunakan sebagai PPS kerana lokasinya agak tinggi, beliau akan mengarahkan Nadma untuk membuat kerjasama pintar dengan sekolah-sekolah ini untuk mempunyai dewan tetap.

"Kita telah mendahulukan lapan sekolah terlebih dahulu di Johor melibatkan Mersing dan Batu Pahat.

"Kita akan membina dewan-dewan sekolah yang akan dijadikan PPS tetap, ertinya di luar musim banjir, dewan-dewan itu akan dapat digunakan untuk pihak sekolah terutamanya untuk aktiviti sekolah," kata beliau.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu juga, akan mengarahkan Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk segera mewujudkan keanggotaan sebesar sebuah regimen, untuk setiap kawasan parlimen.

"Ini kita akan koordinasikan untuk seluruh 222 Parlimen di seluruh negara dan ini akan dilakukan, insya-ALLAH pada tahun ini juga.

"Kita harap dengan adanya kerja-kerja yang terkoordinasi ini, maka kita telah mengambil langkah-langkah ke hadapan, untuk membantu rakyat keseluruhannya," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Satu regimen bermaksud antara 300 sehingga 1,000 anggota dan pada masa ini, difahamkan Johor mempunyai 1,000 anggota APM di seluruh negeri. - Bernama