Tiga muka baharu mantapkan Lembaga Pengurusan MSN

Hannah (kanan) menyerahkan surat pelantikan kepada Stuart sebagai ahli jawatankuasa Lembaga Pengurusan MSN di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto FB KBS
Hannah (kanan) menyerahkan surat pelantikan kepada Stuart sebagai ahli jawatankuasa Lembaga Pengurusan MSN di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto FB KBS
A
A
A

BAGI membarakan lagi program utama sukan Malaysia, Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) menambah ahli jawatankuasa baharu.

Lembaga Pengurusan MSN menyenaraikan Datuk Subramaniam Raman Nair, Stuart Ramalingam dan Alan Ling sebagai tiga muka baharu ahli jawatankuasa berkenaan.

Makluman mengenai perkara tersebut dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas bermesyuarat untuk penggal ke-23 di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Subramaniam mewakili Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Stuart berpengalaman luas dalam sektor industri sukan dan Alan Ling berpengetahuan dalam sektor perundangan serta pengurusan badan sukan," ujar kenyataan itu.

KBS menyebut, mesyuarat tersebut turut membincangkan cadangan penambahbaikan program dan tadbir urus pengurusan MSN termasuk dalam aspek keberkesanan pengurusan kewangannya.

“Selain itu, inisiatif penjanaan pendapatan menerusi penajaan turut dibincangkan bagi program yang dikenal pasti khususnya bagi memastikan 'talent pipeline' yang lebih berkesan di peringkat pembangunan.

“Mesyuarat turut diberikan laporan perkembangan beberapa program utama MSN seperti Program Gold Paris 2024 dan program-program lain yang dikendalikan oleh pengurusan MSN,” kata KBS.

Lembaga Pengurusan MSN dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, manakala ahlinya sebelum ini terdiri daripada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Turut berada dalam lembaga tersebut ialah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Hamidah Naziadin, Idwan Ariff Abdul Rahman dan bekas perenang negara, Nurul Huda Abdullah.