Rantai emas kena ragut lepas isi minyak

Video kejadian samun rantai emas membabitkan seorang warga emas tular di media sosial pada Selasa.
Video kejadian samun rantai emas membabitkan seorang warga emas tular di media sosial pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki kerugian RM5,000 apabila rantai emas yang dipakai diragut dua penjenayah selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Klebang Jaya, Chemor di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.48 pagi apabila mangsa yang berusia 65 tahun selesai mengisi minyak motosikalnya di stesen minyak tersebut.

Menurutnya, dua suspek yang tidak dikenali berpakaian hitam menaiki sebuah motosikal berhenti di belakang mangsa sebelum meragut rantai leher emas berkenaan.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit mendapati kejadian tersebut berlaku sepertimana diceritakan oleh pengadu.

"Anggaran kerugian sebanyak RM5,000 manakala pengadu tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana saksi kejadian tersebut atau mempunyai rakaman kamera kenderaan yang merekod maklumat kenderaan suspek untuk tampil membantu siasatan.