Tiga beranak nyaris maut gerai belacan dirempuh SUV

Abu Bakar melihat pelbagai jualan produk makanan digerainya bertaburan di atas tanah.
Abu Bakar melihat pelbagai jualan produk makanan digerainya bertaburan di atas tanah.
A
A
A

MELAKA - Tiga beranak yang berada dalam sebuah gerai jualan belacan nyaris maut selepas gerai yang menjadi punca rezeki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Peugeot di Jalan Klebang Besar, Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh di sini pada Selasa.

Kejadian berlaku jam 12.15 tengah hari itu turut menyebabkan pemilik gerai, Junaidah Maarof, 45, dan anaknya Rabiatul Adawiyah Abu Bakar, 23, cedera di kepala dan kaki akibat tersepit antara kereta dan rak besi jualan.

Suami Junaidah, Abu Bakar Abd Aziz,56, berkata, dia bernasib baik kerana berada di kaki lima kedai dan sedang berbual bersama isteri dan anak perempuan yang berada di dalam.

Menurutnya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dentuman dan rempuhan kuat sebelum mendapati isterinya tersepit di celah rak jualan sebelum kedua-dua mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kenderaan SUV dinaiki dua individu merempuh gerai belacan di Jalan Klebang Besar, Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh di sini pada Selasa.
Kenderaan SUV dinaiki dua individu merempuh gerai belacan di Jalan Klebang Besar, Kampung Pinang Batang Tiga, Lereh di sini pada Selasa.

"Saya segera mendapatkan isteri yang tersepit dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk keluarkan dia dan anak dari gerai terbabit.

"Nasib baik kebetulan jentera bomba melalui kawasan ini dan membantu memberikan pertolongan kepada mereka berdua.

“Saya masih terngiang-ngiang jeritan pemandu lelaki serta penumpang wanita berusia sekitar 20-an yang berada dalam kenderaan yang remuk di bahagian depan,” katanya.

Katanya lagi, ia merupakan kemalangan pertama yang berlaku sejak mereka berniaga di situ 20 tahun lalu.

"Disebabkan kejadian ini, pendapatan kami sekeluarga terjejas kerana semua barang jualan telah rosak," katanya.