Kontraktor didakwa tipu tawar beli, pasang pendingin hawa

Tertuduh diiring polis di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
Tertuduh diiring polis di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan menipu melibatkan kerugian RM3,500 dengan menawarkan pembelian dan pemasangan pendingin hawa serta pintu keselamatan pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Wan Mohd Asyraf Wan Mohd Rahi, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh dan Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didapati telah menipu seorang lelaki dan wanita dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh akan menguruskan pembelian dan pemasangan pendingin hawa serta pintu keselamatan sehingga mangsa menyerahkan wang RM700, RM1,800 dan RM1,000.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza iaitu di Taman Tiara Sendayan dan Bandar Baru Enstek, Nilai pada 5 hingga 27 Disember 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 1 Mac 2023.