Moyes teruja kembali ke Old Trafford

David Moyes - Foto Agensi
David Moyes - Foto Agensi
A
A
A

BAGAI sireh pulang ke gagang, bekas pengendali Manchester United, David Moyes teruja untuk kembali ke Old Trafford membawa pasukannya, West Ham United menentang The Red Devils hujung Februari ini.

Dua jaringan Jarrod Bowen dan Michail Antonio membantu The Hammers menewaskan pasukan divisyen tiga, Derby County awal pagi Selasa sekali gus mara ke pusingan kelima Piala FA untuk membuat perhitungan dengan United.

Bowen meletakkan West Ham di depan pada separuh masa pertama dan Antonio menggandakan kelebihan selepas rehat dalam saingan pusingan keempat itu.

Moyes memasang impian besar dalam misi membantu West Ham pergi lebih jauh dalam kempen Piala FA apabila kali terakhir mara ke final pada 2006.

Dalam aksi final itu, West Ham tewas kepada Liverpool pada penentuan penalti 3-1 setelah keputusan terikat 3-3 pada masa sebenar permainan.

“Saya tidak sabar menanti aksi ini. Ia perlawanan yang sangat bagus buat kami,” kata Moyes.

Ia akan menjadi kepulangan terbaharu Moyes ke United setelah dipecat pada 2014, selepas 10 bulan menggantikan Alex Ferguson.

“Ini adalah perlawanan yang kami perlukan kerana kami ada pemain yang mahu beraksi di pentas besar.

“Tiada apa yang lebih besar berbanding Old Trafford. Jadi saya katakan pada pemain, mari dan terima cabaran daripada mereka,” katanya.

Moyes melakukan enam pertukaran pemain selepas West Ham mengalahkan Everton 2-0 sembilan hari lalu.

Mengelak kekalahan memalukan berdepan Derby adalah penting buat Moyes, namun kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi keutamaannya.

West Ham ketika ini berada di tangga ke-16 EPL, satu mata di atas zon penyingkiran.

“Ia adalah perlawanan yang sukar kerana Derby melalui 16 aksi tanpa kalah. Kami berjaya melakukan tugas yang profesional berdepan mereka,” kata Moyes.