904 kaki judi ditahan sepanjang Tahun Baharu Cina

904 individu ditahan di seluruh negara dalam Op Limau yang dijalankan bermula 15 Januari. Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM514,793. - Foto PDRM (Gambar kecil: Noorsiah)
904 individu ditahan di seluruh negara dalam Op Limau yang dijalankan bermula 15 Januari. Jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM514,793. - Foto PDRM (Gambar kecil: Noorsiah)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 904 individu terlibat aktiviti perjudian sepanjang Tahun Baharu Cina diberkas menerusi 137 serbuan Op Limau di seluruh bermula 15 hingga 29 Januari.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, jumlah itu membabitkan kategori judi dalam bangunan dan judi luar bangunan dengan jumlah rampasan bernilai RM 514,793.

"Judi dalam bangunan merekodkan 650 tangkapan menerusi 86 serbuan dengan rampasan RM440,647 manakala judi luar bangunan pula mencatatkan 254 tangkapan dalam 51 serbuan membabitkan rampasan berjumlah RM73,146.

"Bagi judi dalam bangunan, Selangor mencatatkan jumlah tangkapan, serbuan dan rampasan tertinggi dengan 134 individu ditahan menerusi 17 serbuan membabitkan rampasan RM179,639.

"Sementara itu, Sarawak pula merekodkan jumlah tangkapan tertinggi bagi judi luar bangunan iaitu seramai 59 orang manakala rampasan tertinggi pula direkodkan di Pulau Pinang sebanyak RM29,159," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noorsiah berkata, kesemua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh menyalurkan maklumat melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477," ujar beliau.