Saya dipilih menjulang Piala Dunia - Messi

Messi mengucup trofi Piala Dunia. - Foto Agensi
Messi mengucup trofi Piala Dunia. - Foto Agensi
A
A
A

BINTANG sensasi, Lionel Messi mendedahkan rahsia kejayaannya membantu Argentina memenangi Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Perancis di pentas final di Qatar.

Dalam satu wawancara radio, pemain berusia 35 tahun itu memberitahu, dia memenangi Piala Dunia kerana trofi emas berkilau tersebut memilihnya untuk menjulangnya.

Messi menjadi inspirasi kepada negaranya memenangi Piala Dunia Qatar bulan apabila menjaringkan dua gol dan satu sepakan penalti ketika menyingkirkan juara bertahan, Perancis 4-2 selepas terikat 3-3 di final.

"Piala itu memanggil saya dan berkata; datang dan pegang saya. Sekarang anda boleh sentuh saya," kata Messi kepada stesen radio Argentina, Urbana Play.

Beliau turut mengimbas suasana di Stadium Lusail, Doha yang menjadi venue final tersebut.

"Saya nampak ia berkilauan di stadium yang cantik itu dan saya tidak teragak-agak untuk menciumnya," katanya.

Messi akhirnya menjulang Piala Dunia dalam penampilan kelima dan terakhirnya selepas kecundang kepada Jerman di final edisi 2014.

Dia turut tewas tiga kali di final Copa America sebelum akhirnya menjulang trofi itu pada 2021.

"Selepas terlalu banyak kesakitan akibat tewas di final, Tuhan memberinya kepada saya," kata Messi mengenai Piala Dunia.

Dia muncul kapten pertama Argentina sejak Diego Maradona pada 1986 yang menjulang trofi Piala Dunia.

"Saya gembira sekiranya Maradona yang menyerahkan piala itu kepada saya. Jadi dia dapat melihat Argentina muncul juara dunia," ujar Messi.

Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu.

"Dari atas sana, dia memberikan saya kekuatan, begitu juga kepada ramai lagi orang yang mencintai saya," katanya.

Peminat menjangka Messi akan bersara di pentas antarabangsa selepas kejayaan di Qatar itu, sebaliknya dia mahu terus bermain bersama rakan sepasukan dan turun ke padang sebagai juara dunia.

Bagaimanapun, Messi mengakui kariernya hampir berakhir selepas dia merangkul trofi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali, 10 kali gelaran La Liga bersama Barcelona, satu trofi Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain.

Messi turut mencipta rekod memenangi Ballon d'Or sebanyak tujuh kali.