85 peratus kes sulh berjaya diselesaikan

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Sebanyak 32,718 kes atau 85 peratus daripada 38,683 kes sulh yang didaftarkan di Mahkamah Syariah seluruh negara sejak 2019 hingga 2022, berjaya diselesaikan secara damai melalui prosiding sulh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, bagi kes-kes yang tidak berjaya diselesaikan melalui prosiding sulh, ia akan dibicarakan di hadapan hakim.

"Antara kes yang berjaya diselesaikan menerusi prosiding sulh ialah pertikaian anak, harta, nafkah dan tuntutan mutaah.

"Bayangkan jika tiada sulh mediasi ini, 38,000 kes yang didaftarkan tadi akan terus pergi ke hadapan mahkamah sedangkan kes-kes ini boleh diselesaikan dengan baik melalui sulh-mediasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Profesional Kursus Kemahiran Sulh-Mediasi dan Pelancaran Skuas Sulh di sini pada Isnin.

Mohd Na'im berkata, sulh bukan sahaja menyelesaikan pertikaian pihak-pihak yang terlibat tetapi lebih daripada itu, contohnya jika melibatkan perebutan hak jagaan anak, pegawai sulh akan turut menekankan bagaimana membina hubungan yang baik demi menjaga kebajikan anak-anak.

"Itu pentingnya sulh berbanding kes hak jagaan anak ini dibicarakan dan dipertikai di hadapan hakim, sedangkan sulh-mediasi diselesaikan dalam kawasan yang tertutup, suasana yang penuh harmoni, maka dalam konteks itu anak itu insya-ALLAH kita harapkan besar dalam keadaan tenang sejahtera, maknanya walaupun ibu bapa bercerai tapi dapat lihat kepentingan anak," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na'im berkata, sulh-mediasi merupakan satu pendekatan yang meraikan pandangan pihak-pihak, mengiktiraf kepentingan, mencari penyelesaian bersama dan mengutamakan pendamaian yang bersifat lestari dalam masyarakat.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Kemahiran Sulh-Mediasi kepada 99 pelajar Universiti Sains Islam (USIM) yang menghadiri kursus tersebut selama lima hari dan lulus penilaian mengikut standard yang telah ditetapkan. - Bernama