Nurul Izzah perlu ada latar belakang khusus sebagai penasihat

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Carmelo (Foto Edgeprop.my)
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Carmelo (Foto Edgeprop.my)
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar perlu mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi dan kewangan bagi menyandang jawatan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berkata, kelayakan dari segi kepakaran itu amat diperlukan bagi mereka yang memegang jawatan selaku penasihat dan kaunselor.

"Nurul Izzah belajar kejuruteraan dan hubungan antarabangsa. Dia tidak mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi atau kewangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Dalam pada itu, Carmelo berkata, meskipun pelantikan itu adalah secara pro bono, namun mendapatkan penasihat yang tidak berkelayakan adalah satu dasar yang tidak baik.

“Dasar buruk, walaupun dipandu oleh niat baik, boleh merosakkan negara.

“Kita telah melihat ini dengan siling harga atau sekatan pekerja asing," ujar beliau.

Tambahnya, pelantikan Nurul Izzah itu juga bercanggah dengan percubaan Anwar untuk menggambarkan dirinya sebagai seorang reformis.

“Strategi kempen dan komunikasi Anwar dikaitkan dengan janji (agenda) baharu dan reformis yang sepatutnya menangani rasuah dan nepotisme,” jelasnya.