Waspada tawaran kerja sambilan palsu

Polis mengingatkan masyarakat bijak menilai kerana tidak ada pekerjaan yang perlu membuat bayaran terlebih dahulu. - Gambar kecil: Ramli
Polis mengingatkan masyarakat bijak menilai kerana tidak ada pekerjaan yang perlu membuat bayaran terlebih dahulu. - Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUANTAN - Seorang penuntut institusi perguruan mengalami kerugian RM21,694 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, gadis berusia 21 tahun itu dikatakan telah menerima satu pesanan melalui aplikasi tersebut yang menawarkan kerja sambilan iaitu peniagaan pembelian barang melalui platform e-dagang pada 13 Januari lalu.

Sehubungan itu katanya, mangsa telah membuat 10 kali pindahan wang ke dua akaun bank yang berlainan sehingga menyebabkannya kerugian.

"Selepas membuat pindahan itu, mangsa tidak mendapat barang seperti yang dijanjikan dan berasa tertipu," katanya.

Sehubungan itu, Ramli meminta agar masyarakat perlu bijak menilai kerana tidak ada pekerjaan yang perlu membuat bayaran terlebih dahulu.

"Jangan mudah terpedaya dengan janji mendapat komisen dan pulangan tunai dalam masa yang singkat.

"Perlu diingatkan juga supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujar beliau.