PSG teruskan persembahan hambar

Neymar meledak jaringan pertama buat PSG.- Foto Agensi
Neymar meledak jaringan pertama buat PSG.- Foto Agensi
A
A
A

PENYANDANG juara Paris St Germain (PSG) meneruskan persembahan hambar dalam saingan Ligue 1 Perancis apabila terikat 1-1 ketika menentang Stade de Reims di Stadium Parc des Princes.

Babak pertama kedua-dua pasukan buntu mencari gol pendahuluan menyaksikan masing-masing menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan 0-0.

Penyerang sensasi PSG, Neymar terlebih dulu meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-51', sebaik sepak mula babak kedua.

Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kehilangan khidmat pemain gantian Marco Verratti selepas pemain tengah tersebut dilayangkan kad merah pada minit ke-59'.

Kekurangan dimiliki PSG kemudiannya dimanfaatkan sepenuhnya Reims apabila Folarin Balogun menyamakan kedudukan enam minit sebelum masa kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan PSG, yang sekali lagi kurang kreativiti, terlepas peluang untuk melebarkan pendahuluan Ligue 1 kepada lima mata selepas pesaing RC Lens, Olympique de Marseille dan Monaco juga meraih hanya satu mata dalam perlawanan masing-masing.

Kelab Paris, yang tewas dua daripada tiga perlawanan sebelum ini, memperoleh 48 mata daripada 20 perlawanan dengan Lens 45 dan Marseille 43 dalam persaingan kejuaraan kembali terbuka.

Reims berada di tangga ke-11 dengan 26 mata selepas melebarkan rekod tanpa kalah Ligue 1 kepada 12 perlawanan.