Saudi Tour: TSG pertaruh tujuh pelumba

Nur Aiman antara tujuh pelumba TSG yang akan bersaing pada Saudi Tour bermula Isnin.
Nur Aiman antara tujuh pelumba TSG yang akan bersaing pada Saudi Tour bermula Isnin.
A
A
A

PASUKAN berbasikal terbaik Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mempertaruhkan tujuh pelumba bagi mengharungi cabaran Saudi Tour yang berlangsung lima hari bermula Isnin.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, tujuh pelumba tersebut termasuk tonggak import kelahiran Australia, Jesse Ewart yang baru menyertai skuad itu musim ini.

Beliau berkata, turut tersenarai dalam perlumbaan bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu ialah kapten pasukan, Youcef Reguigui, Jeroen Meijers, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Jambaljamts Sainbayar dan Mohd Harrif Saleh.

"Ini adalah penampilan pertama Jesse Ewart bersama TSG. Kami amat teruja untuk melihat persembahan dan prestasinya.

"Kita juga membawa pelumba berpengalaman iaitu Harrif Saleh dan pakar pendakian Jambaljamts Sainbayar untuk mengharungi cabaran yang sukar di sana," katanya.

Nasiruddin berkata, TSG tidak meletakkan sasaran tinggi di Saudi Tour memandangkan jelajah tersebut disertai banyak pasukan bertaraf jelajah dunia dan jelajah pro.

Bagaimanapun, beliau berharap pelumba dapat mengutip seberapa banyak mata untuk mengekalkan kedudukan terbaik ranking Asia dan pasukan benua terbaik dunia di akhir musim ini.

"Tahun lepas pelumba kita gagal meraih sebarang podium kerana masalah seperti ribut pasir dan saingan daripada pelumba bertaraf dunia.

"Jadi musim ini kita meletakkan sasaran realistik iaitu 15 terbaik keseluruhan individu kerana lebih ramai pelumba handalan bertaraf dunia menyertai Saudi Tour kali ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Nasiruddin berkata, pelumba import baharu TSG, Aiman Cahyadi berjaya meraih podium pada peringkat kedua perlumbaan Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

"Tour of Sharjah adalah perlumbaan pertama TSG musim ini. Kami amat berbangga dengan pencapaian Aiman yang juga pelumba kebangsaan Indonesia," ujarnya. - Bernama