Kekosongan jawatan Exco, diputuskan minggu depan

Aminuddin (enam kiri) ketika menyerahkan kad anak kepada penerima di Seremban pada Ahad.
Aminuddin (enam kiri) ketika menyerahkan kad anak kepada penerima di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Kekosongan jawatan Exco Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar sama ada diisi atau tidak, akan diputuskan minggu hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengerusi DAP negeri, Anthony Loke Siew Fook mengenainya.

"... Dan akan dibawa untuk diperkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan bincang dengan pengerusi DAP negeri (Anthony) nanti. Mungkin ada yang memangku (jawatan itu) atau mungkin ada yang baharu, kita akan bawa perkenan Tuanku dan maklum ada Exco letak jawatan, apa jua tindakan akan dimaklumkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kad Anak Peringkat negeri di sini pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Arul melepaskan jawatan berkenaan selepas dilantik sebagai Setiausaha Politik Anthony merangkap Menteri Pengangkutan bermula 27 Januari lepas.

Pelantikan berkenaan telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arul merupakan ADUN Nilai sejak Mei 2013 selain berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan sejak 2018.