Lelaki pukul isteri guna topi keledar positif dadah

Klip video tular memaparkan seorang lelaki memukul isterinya menggunakan topi keledar di hadapan sebuah kedai makan di Paloh, Gua Musang pada Khamis.
Klip video tular memaparkan seorang lelaki memukul isterinya menggunakan topi keledar di hadapan sebuah kedai makan di Paloh, Gua Musang pada Khamis.
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki yang dipercayai bertindak memukul isterinya menggunakan topi keledar di sebuah kedai makan di Paloh di sini pada Khamis lalu didapati positif dadah.

Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek berusia 35 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, suspek ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah pada 2.30 petang Sabtu.

"Suspek bekerja sendiri manakala isterinya berusia 35 tahun merupakan pembantu tukang masak di sebuah kedai makan.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas senjata (topi keledar) yang digunakan oleh suspek untuk memukul isterinya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, suspek direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu untuk membantu siasatan.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung klip video tular mengenai kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.

Klip video berdurasi 1 minit 47 saat itu telah dimuat naik di Facebook pada Khamis.

Tindakan itu menimbulkan kecaman dalam kalangan warganet sehingga ada yang mencadangkan pelaku dikenakan tindakan setimpal.