PRN Selangor: Agihan kerusi PH, BN dijangka selesai Februari

Amirudin
Amirudin
A
A
A

GOMBAK - Pakatan Harapan (PH) Selangor belum mengadakan perbincangan rasmi dengan BN berhubung pembahagian kerusi yang akan ditandingi kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.

Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pimpinan PH di peringkat negeri akan mengadakan perbincangan dengan BN Selangor berhubung perkara itu Februari ini.

"Pengagihan kerusi dengan UMNO (Selangor) akan dibincangkan dan dijangka dapat diselesaikan pada Februari kerana selepas itu kita akan tumpu kerja di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Bantuan Masuk Sekolah Ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) 2016 Bagi Sesi Persekolahan Tahun Satu bagi sesi 2023 di Dewan Rakyat Baru Caves pada Ahad.

Amirudin (tiga kiri) ketika menyampaikan sumbangan persekolahan Tawas 2016, Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2023 di Dewan Rakyat Baru Caves pada Ahad.
Amirudin (tiga kiri) ketika menyampaikan sumbangan persekolahan Tawas 2016, Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2023 di Dewan Rakyat Baru Caves pada Ahad.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PH Selangor berharap rundingan berkenaan juga akan dapat memastikan tiada pertembungan berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di antara PH dan BN.

Ketika ditanya mengenai keengganan pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk memberikan kerusi PH kepada BN, beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan namun akan diselesaikan dengan harmoni.

"Perbincangan akan dibuat kerana masing masing ada pandangan dan di meja rundingan kita boleh memuktamadkan (nanti) dan kita boleh membuat keputusan itu dengan harmoni," kata Amirudin.

Pada 15 Januari lalu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, beliau difahamkan setakat ini PH Selangor tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenangi mereka pada 2018.

Mohd Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, parti-parti yang menganggotai PH sudah pun berunding mengenai peruntukan kerusi.

Dalam pada itu, mengenai program Tawas, Amirudin menambah, seramai 42, 634 penerima yang merupakan murid bakal memasuki sesi persekolahan Tahun Satu bagi sesi 2023 menerima bantuan persekolahan daripada kerajaan negeri.