Pedri layak dilabel pemain tengah terbaik dunia - Xavi

Pedri (kanan) meraikan jaringannya bersama Ansu Fati dalam aksi La Liga menentang Girona.
Pedri (kanan) meraikan jaringannya bersama Ansu Fati dalam aksi La Liga menentang Girona.
A
A
A

PENGENDALI Barcelona, Xavi melabel pemain tengah pasukan itu, Pedri sudah pun menjadi antara pemain tengah terbaik dunia.

Pemain berusia 20 tahun itu menandakan penampilan ke-100 untuk kelab itu pada Sabtu dengan gol tunggal ketika Barcelona menewaskan Girona untuk meraih kemenangan kelapan dalam sembilan perlawanan La Liga.

"Dia sudah membuat perubahan besar dalam permainan dan jika anda lihat dia turut melakukan bantuan gol dan menjaringkan gol, ia bermakna Pedri adalah salah seorang pemain terbaik di dunia dalam kedudukannya pada usia 20 tahun.

"Dia masih perlu melakukan lebih banyak dalam hantaran terakhir. Bukan sahaja Pedri tetapi juga Gavi, (Frenkie) De Jong, (Sergio) Busquets, dan (Franck) Kessie apabila dia bermain," katanya.

Namun, Xavi melihat prestasi Barcelona masih belum berada pada tahap terbaik dalam perlawanan itu.

"Kami masih belum berani sepenuhnya. Kami memberikan hantaran yang betul, tetapi bukan hantaran penentu. Kami perlu merembat dari luar kawasan, mencari bola yang bagus dan membuat hantaran silang.

"Girona memberi tekanan kepada kami dan mereka mengejutkan kami, tetapi kadangkala kami perlu keluar dari kotak dan mencipta lebih banyak peluang lagi.

"Setengah jam pertama separuh masa kedua adalah apa yang kami mahukan iaitu kemenangan dan gol datang hasil tekanan tinggi.

"Saya berpuas hati dengan kemenangan itu, tetapi kami mesti menambah baik kualiti dan kami mesti memperbaiki situasi menyerang," katanya.